Sunday, June 7, 2009

pas + umno

Muktamar Pas labuh tirai dengan tekad keterbukaan Islam
07/06/2009 7:30pm
SHAH ALAM 7 Jun — Muktamar Tahunan PAS Ke-55 melabuhkan tirainya hari ini dengan pucuk pimpinan parti itu bertekad membuka pintu toleransinya kepada mana-mana pihak dalam menegakkan syiar Islam.

Ini merujuk kepada perbincangan PAS dengan Umno dan kemungkinan penubuhan kerajaan perpaduan yang mendapat tentangan terbuka beberapa perwakilan dan pemimpin daripada ketiga-tiga sayap parti.

Mereka khuatir jika kepimpinan parti tersasar daripada landasan parti dan bimbang sekiranya parti mengulangi kesilapan lalu iaitu ketika parti itu menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974 sebelum keluar daripadanya empat tahun kemudian.

Keterbukaan itu juga dikhuatiri menjejaskan hubungan PAS dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Namun sepertimana ditegaskan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, adalah berdosa sekiranya seseorang itu tidak mematuhi pemimpin selagi pemimpin itu tidak melanggar syarak.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan menegaskan perjuangan menegakkan syiar Islam yang menjadi landasan perjuangan parti perlu merentasi sempadan politik sekalipun dengan musuh.

No comments:

Post a Comment