KUALA LUMPUR, 16 April – Setelah dua bulan berlalu dan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong bercuti ekoran kontroversi yang melanda, akhirnya dia akan kembali bertugas semula esok sedangkan jika difikirkan secara rasional, wajarkah tindakan yang dipilihnya?
Bukan mahu mempertikaikan atau enggan memberi peluang atas soal peribadi yang kononnya telah dibiarkan berlalu sedangkan siasatan pihak polis berhubung dengan laporan yang dibuatnya belum lagi selesai.
Apatah lagi kekecohan yang timbul berkaitan salah laku moral Februari lalu bukanlah milik peribadi Elizabeth Wong semata-mata kerana tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat tentunya akan menuntut keseluruhan kehidupannya adalah bersih dari perbuatan negatif.
Tambahan pula, sebelum ini, Elizabeth sendiri telah mengakui perbuatan sumbangnya dan turut mengambil keputusan akan berpegang kepada pendirian meletakkan jawatan sebagai ADUN dan juga Exco kerajaan negeri Selangor.
Apa lagi yang perlu difikirkan jika yang empunya badan sendiri sudah mengakui bahawa gambar sedemikian adalah miliknya.
Malangnya pemimpin atasan pakatan campuran enggan melepaskan begitu sahaja, sebaliknya setelah diberi cuti selama dua bulan, kerajaan negeri Selangor menawarkan kembali Elizabeth menyambung tugasnya.
Sesungguhnya, terbukti dan terserlah bahawa pakatan campuran hanya pandai mengata dan berkata-kata sahaja dan apabila terkena batang hidung sendiri maka sepantas itu juga mereka mencari helah mengenepikan apa yang telah mereka perkatakan.
Ingatlah semula, bagaimana perlakuan dan kelancangan mereka menunding jari apabila ada di antara pemimpin BN yang turut menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab….
Pakatan campuran yang didalangi oleh PKR, DAP dan PAS terus sahaja memburuk-burukkan kerajaan BN apabila Datuk Dr. Chua Soi Lek yang ketika itu menjawat Menteri Kesihatan terlibat dalam skandal seks hingga memberikan pelbagai tekanan untuk beliau meletak jawatan sama ada dalam kerajaan mahupun parti. Lantaran itu, beliau berbuat demikian pada 31 Disember 2007.
Persoalannya, mengapa perkara yang sama tidak diambil terhadap ahli atau ADUN mereka yang secara terang telah mengaku bahawa dia telah berbuat silap dan ingin melepaskan jawatan.
Lihat sahaja bagaimana kes melibatkan Elizabeth Wong yang ternyata turut makan diri. Pengakuan Elizabeth terhadap gambar separuh bogelnya yang tersebar menyebabkan dirinya sendiri tertekan.
Selaku Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, sewajarnya Elizabeth tidak terbabit dalam perbuatan yang ternyata melanggar moral dan etika sebagai pemimpin yang kononnya berjiwa rakyat.
Walaupun Elizabeth mengatakan dirinya menjadi mangsa kepada pihak yang cuba menganiayanya tetapi dia mengakui bahawa gambar tersebut dirakam oleh bekas teman lelakinya.
Jika diambil soal etika dan moral, sudah pastilah hal sedemikian amat memalukan masyarakat yang menjadi pengundinya dan juga institusi kerajaan negeri khususnya rakyat di Negeri Selangor.
Memang Elizabeth membuat laporan polis kerana kononnya dia teraniaya. Ekoran itu siasatan yang dibuat oleh pihak polis menemukan semakin banyak pula kesalahan moral yang berlaku membabitkan pemimpin-pemimpin PKR hinggakan dikatakan bekas teman lelakinya adalah lelaki Melayu yang beragama Islam…
Nilailah sendiri kemungkinan-kemungkinannya….
Sebaliknya, para pemimpin tertinggi pakatan campuran membela apa yang dilakukan oleh Elizabeth lantas sebagai alasannya terus pula menunding jari menyalahkan pihak lain.
Justeru, bagaimana mungkin ia boleh berkait dengan UMNO dan BN sedangkan difahamkan bahawa bekas teman lelaki Elizabeth adalah antara penasihat kepada orang penting dalam PKR sendiri.
Sememangnya nilai moral dan etika dalam peribadi wakil rakyat dipertikaikan oleh masyarakat setempat kerana ia sememangnya menyalahi nilai dalam mana-mana agama sekalipun di samping bertentangan dengan budaya masyarakat dan bangsa Malaysia.
Lantaran itu, mereka ditolak dan akibat daripada tekanan di samping rasa tanggungjawab terhadap masyarakat yang telah memilih mereka, wakil rakyat terbabit wajar membuat keputusan bersandarkan kepada kesalahan sendiri.
Namun begitu, persoalannya… mengapa pula BN dan UMNO yang dikaitkan dan dipersalahkan?
Di mana logiknya keterlibatan BN dan UMNO hinggakan dijadikan sebagai objek untuk mengelakkan diri dari menganggung aib.
Dalam hal lain pula, tentunya masih jelas bagaimana tindakan pembangkang dalam menangani masalah salah laku moral terhadap ahli-ahli mereka termasuklah menyembunyikan keburukan moral para pemimpinnya, sebagaimana antara contoh kes Anwar Ibrahim meliwat pembantunya Saiful, kes Mat Sabu di bilik 121 Hotel Perdana dan Abd Razak Abas, si penyelak kain!
Lebih malang jika orang yang sebegini terus dijadikan contoh dan tauladan kepada rakyat khususnya di kawasan DUNnya sendiri iaitu selaku pemimpin dan wakil kepada masyarakat setempat.
Ironinya, bangkai gajah tak mungkin boleh disembunyikan dan sedikit demi sedikit kecacatan terserlah apabila satu persatu salah laku dan moral mula kelihatan. Lantas, nilailah sendiri kemungkinan untuk masa hadapan jika orang sebegini terus jadi pemimpin….
Janganlah hendaknya kerana terlalu taksub terhadap kepimpinan songsang pakatan campuran, maka gagal pula untuk menilai yang mana benar dan yang mana salah sepertinya tak dapat membezakan yang mana kaca dan yang mana permata.
Fikirlah, di mana kewajaran prinsip yang dipertaruhkan pakatan campuran?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment