Wednesday, April 1, 2009

mulanya pepecahan..

Laporan siasatan dakwaan Amizudin belum diterima

PULAU PINANG: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, berkata beliau masih belum menerima laporan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan anggota parti di negeri ini.

"Siasatan itu sepatutnya siap minggu ini, tapi setakat ini saya belum terima lagi," katanya di sini, hari ini. Katanya, panel yang diketuai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Halim Hussain, diberi masa tiga minggu bagi menyiasat dakwaan Ketua Pemuda PKR Kepala Batas, Amizudin Ahmat berhubung kes rasuah itu.

Pada 27 Februari lalu, Amizudin dalam sidang akhbarnya mendakwa terdapat anggota PKR Pulau Pinang menerima rasuah daripada sebuah syarikat kuari di Seberang Perai. Zahrain berkata selepas menerima laporan itu, beliau akan segera mengemukakannya kepada PKR negeri. "Kita akan adakan mesyuarat di peringkat negeri dan seterusnya mengemukakan laporan itu kepada peringkat PKR pusat," katanya.

Zahrain berkata, hasil siasatan itu tidak akan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan hal dalaman parti. "Kita akan lihat dulu hasil laporan itu, jika ada tindakan yang perlu dibuat, kita serahkan kepada PKR pusat untuk menentukannya," katanya.

Anggota panel empat orang itu ditubuhkan pada 16 Mac lalu. Tiga lagi anggota panel itu ialah Timbalan Speaker DUN, Tan Hock Leong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Uban, S Raveentharan dan Adun Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin. - Bernama

1 comment:

  1. kes sebegini akan banyak lagi kerana mereka rakus dan tamak...

    ReplyDelete