Kecoh DUN Perak, sikap kemaruk kuasa
KUALA LUMPUR 8 Mei - Pemimpin UMNO di pelbagai peringkat mengecam keras kelakuan anggota pembangkang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam yang bukan sahaja mengaibkan tetapi turut menghina institusi diraja.
Menurut mereka, apa yang berlaku semalam itu ternyata didorong oleh sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang 'gila kuasa' apabila tidak boleh menerima realiti bahawa mereka tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota dewan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Noh Omar berkata, jika parti pembangkang terutama DAP dapat menerima hakikat yang mereka telah hilang majoriti maka pastinya ADUN pembangkang tidak berkelakuan kurang ajar seperti semalam.
Katanya, sebab itu tiada istilah yang paling tepat untuk menyimpulkan apa yang berlaku di DUN Perak semalam melainkan kemaruk kuasa sehingga sanggup berbuat apa sahaja walaupun ia memalukan.
''Saya tengok pembangkang dah macam Raja Bersiung yang sekali makan darah dia nak makan darah lagi. Macam pembangkang jugalah, tak pernah berkuasa, bila sekali dapat berkuasa dia ingat selamanya dapat berkuasa.
''Dan peliknya juga, masa dapat kuasa, junjung prinsip demokrasi tapi bila hilang kuasa tak pegang demokrasi. Barisan Nasional (BN) ada 31 kerusi, pembangkang 28, budak sekolah pun tahu siapa yang dapat majoriti sekarang,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Persidangan DUN Perak semalam berlangsung dalam keadaan kecoh gara-gara tindak-tanduk pembangkang yang tidak mematuhi peraturan hingga menyebabkan perasmiannya oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah tertangguh selama lima jam.
Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, tindakan ADUN pembangkang mencetuskan kekecohan adalah satu penghinaan kepada DUN dan juga rakyat Perak keseluruhannya.
Katanya, sedangkan sebagai ADUN, mereka diberi penghormatan oleh pengundi dan sepatutnya menjalankan tugas ikut tertib serta peraturan dan bukannya bertindak mengikut emosi seperti mana yang tunjukkan semalam.
Menurut beliau, apatah lagi kesemua ADUN itu memakai pakaian rasmi semalam yang sendirinya mencerminkan ketertiban dan kemuliaan seseorang penggubal undang-undang.
''Sepatutnya sidang boleh berjalan lancar.
Suka tak suka itu cerita lain, emosi bukan penentu tetapi peraturan dan fakta yang perlu diikuti kerana dalam peraturan itu ada ruang.
''ADUN pembangkang semalam telah mencemar profesionalisme mereka.
Dulu mereka lupa yang pembangkang dapat tubuh kerajaan kerana ada majoriti tetapi bila dah tak ada lagi majoriti, kenapa tak dapat berkelakuan sewajarnya,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menegaskan, kebiadapan pembangkang kepada institusi kesultanan Perak sudah berada pada tahap melampau dan tidak boleh dimaafkan.
Katanya, adalah sesuatu yang amat dikesali apabila Raja Dr. Nazrin Shah terpaksa menunggu hampir lima jam untuk merasmikan persidangan tersebut gara-gara sikap gila kuasa parti pembangkang.
''Kekecohan ini amat memalukan. Belum ada lagi dalam sejarah pemangku raja atau sultan diperbudak-budakkan oleh pemimpin politik,'' katanya.
Syed Ali pada masa sama mengingatkan pemimpin DAP supaya jangan mempertahankan sikap ego, kurang ajar dan sombong mereka untuk memecahbelahkan kedaulatan undang-undang.
Katanya, jika mereka berhasrat meneruskan niat untuk berbuat demikian pemimpin DAP diingatkan supaya lakukan perlakuan buruk itu di negara asal mereka, seperti di India dan China.
''Dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, kerajaan adakalanya tidak selalu betul setiap masa, tetapi kerajaan mesti sentiasa berani pada setiap masa,'' tegasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ala depa berlakon depa memang suka berlaon depan media jgn percaya..pakatan rakyat suka berlakon...
ReplyDelete